Thursday, February 3, 2011

bantulah hamba-Mu =)

Telefon bimbit bergetar. Mesej masuk.


Salam. Zikr, maaflah mengganggu. Saja nak tanya. Kau ada balik sekolah baru-baru ni kan?

Salam. Haah, kenapa?

Tak adalah, aku dengar kau ada cerita fasal kami pada junior-junior. Betulke?

Cerita yang macam mana tu?

Kau mesti lagi tahu.



*******

“Dah setahun. Rindu betul aku dengan tempat ini.” Zikran berkata kepada dirinya sendiri. Berdiri di tempat yang sering dilewatinya sepanjang 5 tahun yang lalu. Di belakang Masjid Al-Falah, di atas sebuah batu besar. Dari situ dia boleh melihat seluruh panorama sekolah menengah kesayangannya itu. Sebuah sekolah agama yang telah menjadi tempatnya mengenal erti kehidupan.

“Eh, Abang Ziikr! Bila sampai?” Tegur seorang junior. Azizi Hamid. Pelajar tingkatan 4.

“Zizi! Baru je sampai tadi. Solat dhuha sebentar, lepas tu berdiri atas batu ni.”

“Abang memang suka berdiri atas batu ni kan?”

Zikran cuma tersenyum. Memang kebiasaannya setiap kali ada masa lapang, dia akan ke sana.

“Apa mimpi tiba-tiba balik sekolah ni? Ada apa-apa ke?”

“Rindu,” Jawabnya ringkas.

“Rindu? Hah, ni rindu pada siapa pula ni.” Azizi bertanya dengan nada mengusik.

“Rindu dengan sekolah ni lah. Semua yang ada di sekolah ni. Bangunan-bangunan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan yang paling abang rindu adalah suasananya.”

“Suasana yang macam mana tu bang?”

“Hisyh, kamu ni memang banyak tanya kan? Kalau ye pun, marilah berborak sambil duduk. Letih abang berdiri di atas batu ni.”

Mereka tertawa bersama-sama sambil menuju ke tangga masjid. Walaupun sudah hampir setahun Ziran meninggalkan sekolah, namun hubungannya dengan junior-junior dan guru-guru di sekolahnya masih baik.

“Kamu sekarang tidak rasa lagi macam mana berertinya suasana di sekolah ni Azizi. Nanti bila kamu keluar baru kamu tahu. Susah nak jumpa suasana macam ni lagi. Kamu akan rindu dengan kawan-kawan yang masih istiqomah mengekalkan ciri-ciri keislaman.”

“Maksud abang, bekas-bekas pelajar sekolah kita ni dah tak menjaga diri lagi ke?”

“Tidaklah teruk sangat. Cuma yang ketara daripada penampilan. Yang perempuan, tudung labuhnya tiada lagi. Ada yang pakai seluar jeans. Yang lelaki, dah mula melayan cinta.”

“Kalau abang-abang tu saya fahamlah. Mereka memang dari dulu payah berjemput ke surau. Tapi kakak-kakak yang EXCO BADAR dulu tu? Takkan dah tak pakai tudung labuh?”

Zikran diam seketika.

“Penangan kejutan budaya. Masa di sekolah ramai yang boleh beri nasihat. Bila dah keluar nanti, hampir tiada siapa yang kisah. Kamu buatlah hal sendiri. Kamu sendiri yang akan tentukan hala tuju kamu. Sebab tu kamu perlu persiapkan diri untuk menghadapi dunia luar. Kamu perlu faham kenapa sekolah kita mewajibkan beberapa perkara, juga melarangnya.”

“Saya takutlah Abang Zikran. Sekarang ni mungkin masih kuat nak menjaga diri supaya taat kepada Allah. Nanti dah keluar macam mana ye?”

“Sebab tu kita perlukan suasana tarbiyah.”

“Suasana tarbiyah?”

“Suasana yang sentiasa mengingatkan kita agar menjaga keperibadian muslim sejati. Bila kita tersalah jalan, ada yang akan memimpin tangan kita ke jalan yang lurus kembali.”

“Macam mana nak buat tu?”

“Jangan fikir banyak-banyak dulu. Nanti abang datang lagi minggu depan insya-Allah. Kita fikirkan sama-sama macam mana nak istiqomah berada dalam keadaan beriman dan bertakwa.”


*******

Owh, aku cuma kata yang aku rindu dengan suasana sekolah. Kawan-kawan sekarang dah tak sama macam dulu.

Kau cerita aku dah tak pakai tudung labuh lagi?

Aku tak cerita, diorang tanya.

Apa-apalah. Aku cuma nak kau tahu, aku cuma nak jadi diri aku yang sebenar.

Diri kau yang sebenar tu maksudnya nak pakai pakaian macam budak-budak lain kat kampus ni ke?

Sini bukan sekolah lagi Zikran. Aku nak bebas.

Owh, aku ingat kau faham kenapa peraturan sekolah kena pakai tudung labuh. Bukan sebab itu disiplin untuk pelajar sekolah agama. Itu disiplin sebagai hamba Allah yang Muslim. Rujuklah Al-Quran, Surah Al-Ahzab, ayat 59.

Tiada lagi SMS masuk.

Zikran termenung sendirian. Cerita-cerita seniornya di kampus tentang perubahan-perubahan para pendahulu mereka menerjah ke fikiran. Pengalaman-pengalaman yang sukar dipercayainya kembali bertamu di fikiran.


-------

"Senior aku dulu presiden BADAR. Masuk kampus ni pakai seluar pendek je. Bukan setakat itu, dah bercouple. Clubbing pun ada."

-------

"Kau tengok mamat di meja hujung tu. Yang baru sampai tu. Dia sama batch dengan aku. Budak sekolah agama dulu."

"Eh, biar betul? Habis tu, yang duduk semeja dengan dia tu siapa? Adik dia?"

"Zikr, kau masih berbaik sangka ya? Tu awek dia. Aku kenal. Satu kelas dengan aku."

Zikran menggeleng-gelengkan kepala. Sukar untuk mempercayai.

-------

Zikran melihat seorang perempuan berseluar jeans dan berbaju T-Shirt lengan panjang berwarna terang. Betudung bawal. Kelihatan sedang asyik bergelak tawa dengan teman lelakinya sambil berjalan melepasinya. Dia hampir tidak mempercayai apa yang dilihatnya.

'Eh, biar betul? Takkanlah Kak Balqis tu? Tak mungkin...'

"Qis, you ni nakallah!" Zikran tiba-tiba menangkap suara teman lelaki si perempuan. Tersirap darahnya. Jika diikutkan hatinya, hendak sahaja dia menegur kakak seniornya itu. Namun diurungkannya niat di hati. Terus berjalan lirih. Hatinya hampir gugur.

-------

Tidak semena-mena airmatanya mengalir. Sedih dan kecewa diadun menjadi satu. Apakah teman-teman sekolahnya juga akan menjadi seperti itu? Dia tidak mahu itu terjadi. Dia terus berdoa. Suasana pagi yang cerah itu terasa suram di hatinya.

Zikran bergerak ke komputer ribanya. Jemarinya digerakkan menghalakan tetikus untuk membuka tetingkap Fire Fox Browser. Laman Friendster menjadi pilihan. Sekali lagi dia terlihat sesuatu yang diharapkannya tidak berlaku. Gambar teman sekelasnya di tingkatan 5 dahulu dengan seorang perempuan.Sungguh mesra berdua-duaan. Dan perempuan itu dia cukup kenal.

"Kamil pun ke? Dengan Aliya?"

Aku tak mungkin berdiam diri. Aku tak boleh biarkan Kamil jadi macam ni. Aku dah berjanji dengan dia.

*****

Salam Perpisahan SPM diadakan di Masjid Al-Falah. Semua pelajar lelaki tingkatan 5 beratur dalam 1 barisan panjang. Mereka akan bersalam-salaman, memohon maaf atas segala kesilapan dan saling memberi pesan terakhir. Mereka mungkin akan berpisah terus setelah tamat persekolahan. Masing-masing akan membawa haluannya sendiri.

Tiba giliran Zikran dan Kamil.

"Zikr, maafkan aku selama ni banyak buat salah dengan kau. Aku nak jadi kuat macam kau. Kaulah satu-satunya orang yang aku tengok dapat berubah 180 darjah."

"Semua dengan izin Allah. Kau pun boleh Mil, kalau kau mahu."

"Aku tak kuat Zikr. Tapi memang aku nak."

"Insya-Allah, aku doakan. Doakan aku juga. Sekarang mungkin kita dapat ubah diri. Tapi kalau kita tak istiqomah, Allah boleh tarik hidayahnya bila-bila masa saja."

Lalu mereka berpelukan. Kamil mendakap Zikran dengan kuat. Amat kuat. Air mata Zikran sudah mula bertakung. Dia cuba menahannya. Lalu Kamil membisikkan sesuatu ke telinga Zikran.

"Zikr, aku nak kau janji dengan aku satu perkara."

"Apa dia?"

"Jangan biarkan aku sesat Zikr. Jangan. Kalau kau nampak aku buat salah, cepat-cepat tegur aku. Aku takut. Aku takut Allah biarkan aku sesat. Macam yang kau selalu cerita dalam tazkirah kau, Allah akan membiarkan orang-orang yang ikut hawa nafsu ni sesat." Suara Kamil putus-putus. Serak basah. Kami sedang menangis.

Zikran tidak dapat menahan air matanya. Empangan yang menahan takungan air matanya kini pecah. Seketika lamanya mereka hanya larut dalam pelukan. Musik instrumental Kitaro - Mirage yang mengaluni suasana Masjid Al-Falah menambahkan rasa terharu.

"Insya-Allah Kamil. Aku akan cuba sedaya-upaya aku. Kau pun tolong ingatkan aku sama."

*******

Kini masanya janji ditagih. Zikran segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Kamil.

"Assalamu'alaikum Warahmatullah"

"Wa'alaikumussalam Warahmatullah. Ha, Zikr, apa khabar?"

"Aku sihat je. Kau?"

"Aku pun sihat. Macam mana kampus kau? Aku pun ingat nak masuk situ juga nanti."

"Baguslah, boleh kita terus saling nasihat menasihati macam kat sekolah kan?"

"Insya-Allah. Hah, mimpi apa kau tiba-tiba cari aku ni?"

"Mimpi pasal janji kita."

"......"

"Kamil, gambar yang kau letak dalam Friendster kau tu memang gambar betul kan? Kau dengan Aliya."

"......"

"Aku cari kau untuk menunaikan janji aku Kamil. Kamil, aku sayang kau. Kau ada potensi besar untuk menjadi lebih baik. Aku ingat lagi malam tu. Kita berpelukan cukup lama. Aku ingat lagi bisikan terakhir kau tu. Aku masih ingat sampai sekarang."

"Zikr, aku..." Kamil tidak meneruskan kata-katanya.

"Ya, manusia terkadang tersilap. Itu lumrah kehidupan Kamil. Tiada bumi yang tidak pernah hujan. Tiada manusia yang tidak pernah terjatuh. Tetapi yang penting adalah kita tetap bangun kembali. Tidak kira berapa kali kita jatuh."

"Zikr, aku bersyukur kau dapat ingatkan aku. Aku kagum kau dapat tunaikan janji kau. Tapi maaf Zikr, aku tak kuat. Aku rasa aku tak boleh patah balik lagi. Aku rasa aku dah dapat apa yang aku cari."

"Kamil! Tolonglah. Kau lebih baik daripada ni! Aku kenal kau. Kamil yang aku kenal masih ada di situ. Tolonglah ingat tujuan hidup kita. Jangan korbankan hari esok hanya untuk keindahan yang semu ni."

"....."

"Kamil, tiada yang lebih indah daripada mendapat redha Ilahi. Seindah apapun sesuatu itu dalam pandangan kita, tanpa redha Allah, ia tetap sia-sia. Allah cintakan kita Kamil. Allah sayangkan kita. Tinggal kita nak sayang diri kita atau tidak.." Zikran mula beremosi. Air matanya mula mengalir.

"Zikr, terima kasih. Terus doakan aku ya." Tiba-tiba talian diputuskan.

"Kamil!!"

Zikran terus mendail kembali nombor Kamil. Namun tiada jawapan. Berkali-kali, sehingga operator yang menjawab.

Zikran terduduk melutut. Dia berasa amat bersalah. Air matanya terus mengalir. Dia kembali menata hatinya. Wudhu' diambil. Sejadah dihamparkan. Solat Dhuha didirikan. Hatinya merintih memohon secebis kekuatan daripada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

“Ya Allah, ampunkan aku yang lemah dalam membimbing teman-temanku. Aku sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik buat mereka. Aku tahu aku lemah, aku banyak dosa. Namun aku tetap berharap agar aku mampu kembali kepadamu setiap kalu aku tersungkur. Dan itulah juga harapanku buat teman-temanku. Bantulah mereka untuk mengenal syariatMu dan memperjuangkan agamaMu. Peliharalah diriku dan diri mereka daripada terpengaruh dengan keindahan dunia yang menipu ini.”

Airmata terus menjadi saksi.

No comments:

Post a Comment